Lori bawa sardin terbalik, lebuh raya bertukar 'merah'

Paparan imej dari CCTV yang menunjukkan keadaan sebuah lori membawa muatan tin sardin yang terbalik di lebuh raya arah selatan di Kuala Kangsar.
Paparan imej dari CCTV yang menunjukkan keadaan sebuah lori membawa muatan tin sardin yang terbalik di lebuh raya arah selatan di Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Laluan arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar sesak disebabkan kemalangan lori muatan sardin yang terbalik pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 1 petang di Kilometer 265.9 itu mengakibatkan semua laluan terhalang dan aliran trafik terhenti lebih 3 kilometer.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lori terbabit dalam keadaan merintangi laluan dengan muatan dibawa bertaburan atas jalan.

"Laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan kenderaan dari arah utara telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar bagi kerja-kerja pengalihan dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurut beliau, polis telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi membantu kawalan aliran trafik untuk mengelak kesesakan lebih teruk.

Keadaan lori membawa muatan tin sardin yang terbalik di lebuh raya arah selatan di Kuala Kangsar.
Keadaan lori membawa muatan tin sardin yang terbalik di lebuh raya arah selatan di Kuala Kangsar.

"Kenderaan telah diarah untuk menggunakan laluan alternatif dari Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput untuk ke Ipoh," katanya.

Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada 1.24 petang memberitahu, laluan kontra telah dibuka di Kilometer 267.0 hingga 265.1 arah utara bagi mengurangkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

Trafik masih bergerak perlahan dan pengguna diminta mematuhi papan tanda.

Sementara itu, dalam satu video berdurasi 43 saat yang dikongsi di media sosial menunjukkan ribuan tin dan isi sardin bertaburan atas jalan.

Laluan lebuh raya juga bertukar warna kemerahan apabila sebahagian besar tin sardin kemek dan pecah dilanggar kenderaan lain.