Malaysia smash India, raih emas acara berpasukan campuran

A
A
A

SKUAD badminton negara meraih pingat emas apabila menewaskan India 3-1 pada aksi final berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Arena Birmingham, pada awal pagi Rabu.

Kemenangan berkenaan sekali gus menebus kehampaan skuad badminton negara yang tumpas 1-3 kepada lawan sama di temasya berkenaan di Gold Coast, Australia pada 2018.

Gandingan beregu nombor enam dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan rentak kemenangan skuad negara apabila menewaskan beregu nombor lapan dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18 21-15.

Ternyata Aaron-Wooi Yik menerima tentangan sengit daripada gandingan India berkenaan, sebelum mencatatkan kemenangan untuk mata pertama skuad negara.

India menyamakan kedudukan pada aksi perseorangan wanita apabila Pusarla Sindhu menewaskan Goh Jin Wei, 22-20, 21-17.

Biarpun memberikan tentangan sengit kepada Pusarla, namun Jin Wei akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan straight set kepada pemain ranking ke tujuh dunia itu.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kembali menghidupkan peluang skuad negara apabila mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Kidambi Srikanth 21-19, 6-21, 21-16.

Tze Yong yang dilihat berhempas pulas untuk memenangi set pertama dan kemudiannya tewas mudah pada set kedua kepada pemain ranking ke-13 dunia itu, mempamerkan kebangkitan pada set ketiga bagi mencatatkan kemenangan.

Gandingan Pearly Tan-M.Thinaah kemudiannya mengesahkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Puella 21-18 21-17.

Biarpun menerima tentangan sengit daripada gandingan India itu, namun Pearly dan Thinaah dilihat menggunakan segala pengalaman yang dimiliki bagi mencatatkan kemenangan straight set bagi memastikan pingat emas menjadi milik skuad badminton negara pada edisi kali ini.