Skuad gimrama jalani latihan dalam talian

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya mendengar taklimat daripada Afrita ketika mengadakan lawatan bagi meninjau persiapan skuad gimnastik negara di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bulan lalu.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya mendengar taklimat daripada Afrita ketika mengadakan lawatan bagi meninjau persiapan skuad gimnastik negara di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bulan lalu.
A
A
A

BIARPUN tidak dapat bersama dengan anak didik mereka, kedua-dua jurulatih pasukan gimrama negara dari Rusia yang dihalang memasuki United Kingdom, masih akan terus 'berhubung' dengan kem gimrama kebangsaan sepanjang Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril berkata, mereka tidak mempunyai pilihan selain melakukan latihan menerusi interaksi secara dalam talian bagi memastikan rakan-rakan gimnas di sini tidak terputus hubungan dengan jurulatih mereka yang berada di Malaysia di saat genting ini.

"Kami cuba menyesuaikan diri dengan keadaan, memberi sokongan kepada atlet kita dan memastikan mereka terus berkomunikasi dengan jurulatih melalui aplikasi mesyuarat 'Zoom' manakala saya dan jurulatih tempatan, Lim Win Chean juga akan membantu melatih gimnas di sini (Birmingham).

"Tiada bantahan daripada penganjur setakat ini mengenai inisiatif kami meminta jurulatih Rusia memberi tunjuk ajar secara dalam talian secara langsung dari Malaysia, mereka amat memahami situasi itu," katanya kepada Bernama.

Media sebelum ini melaporkan bahawa dua jurulatih gimnastik Rusia bagi skuad gimnastik negara untuk temasya sukan itu mungkin menghadapi masalah visa.

Tanpa mendedahkan nama mereka, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-duanya jurulatih itu mungkin akan berhadapan masalah berkaitan sekatan kemasukan yang dikenakan oleh kerajaan UK ke atas warga Rusia berikutan konflik Rusia-Ukraine.

Afrita berkata, latihan fizikal dan dalam talian akan dilakukan serentak selama sekurang-kurangnya lima jam setiap hari sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menjelang acara di Arena Birmingham.

Bekas gimnas negara itu berkata, mereka sudah melupakan masalah itu, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada misi mencapai sasaran satu emas dalam temasya sukan ini.

"Sudah tentu ada perbezaan sedikit tetapi seperti yang saya katakan kita tidak fokus kepada masalah itu, sebaliknya kita cuba mencari jalan penyelesaian agar tidak mengganggu mental dan fizikal atlet kita," katanya.

Tiga gimnas negara - Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan akan memulakan aksi mereka pada 4 Ogos ini. - Bernama