Mahu kongsi hadiah RM15,000 dengan anak-anak

Mohd Isa @ Hashim Ahmad dari Selangor bersyukur dengan kemenangan pada Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga dengan meraih hadiah wang tunai RM15,000.
Mohd Isa @ Hashim Ahmad dari Selangor bersyukur dengan kemenangan pada Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga dengan meraih hadiah wang tunai RM15,000.
A
A
A

SHAH ALAM – “Saya ingin berkongsi rezeki duit yang dimenangi ini dengan anak-anak,” demikian luah bapa kepada empat anak yang memenangi tempat pertama Kategori Utama pada Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga sempena Sambutan Ulang Tahun Sinar Harian ke-16.

Mohd Isa @ Hashim Ahmad, 77, dari Selangor itu bersyukur dengan kemenangan tersebut kerana hadiah wang tunai RM15,000 yang dimenangi dapat menambah pendapatan mereka sekeluarga.

“Saya tidak terkata-kata dan tak tahu nak gambarkan perasaan saya...Saya tidak sangka memenangi tempat pertama Kategori Utama.

“Duit yang diterima nanti akan dikongsi bersama anak-anak. Tak kurang sedikit pun duit kita kalau kita bersedekah terutama pada ahli keluarga sendiri, jadi tidak salah kita sama-sama berkongsi rezeki,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Isa @ Hashim Ahmad bersama isteri, Che An Amir Hamzah, 72, di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor.
Mohd Isa @ Hashim Ahmad bersama isteri, Che An Amir Hamzah, 72, di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, sudah menjadi rutin setiap hari dia akan membeli akhbar Sinar Harian di Petronas Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

“Kadang-kadang surat khabar Sinar Harian sudah habis terjual walaupun baru jam 8.30 pagi. Jadi saya tetap mencari di stesen minyak lain atau kedai berhampiran untuk membeli akhbar tersebut.

“Tak lengkap rasanya jika tidak membaca akhbar Sinar Harian. Nak tak nak saya tetap akan mencari akhbar itu biarpun terpaksa membelinya agak jauh dari tempat tinggal,” katanya.

Jelasnya lagi, Peraduan Kumpul dan Menang itu bukan sahaja mendidik untuk membaca akhbar malah turut menghargai pembaca setia di seluruh negara dengan tawaran hadiah yang menarik.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-16 Sinar Harian, saya menzahirkan rasa terima kasih kepada Sinar Harian kerana sentiasa menyampaikan berita-berita menarik dan mudah difahami tanpa mengira umur, bangsa dan kelayakan.

“Semoga Sinar Harian sentiasa menjadi akhbar nombor satu di Malaysia dan kekal menyampaikan berita-berita telus dan bahan-bahan yang menarik untuk semua lapisan umur terutama golongan warga emas,” ujarnya lagi.