Tengku Zafrul perlu jelaskan status keahlian parti

Fahmi (kanan) pada sidang akhbar bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal di Pusat Kerja Lembah Pantai pada Selasa.
Fahmi (kanan) pada sidang akhbar bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal di Pusat Kerja Lembah Pantai pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu memberikan penjelasan berhubung lantikannya sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Tengku Zafrul perlu menyatakan pendirian kerana sebelum ini menyatakan tidak terlibat dalam mana-mana parti politik.

Menurutnya, semua pihak bebas berpersatuan seperti termaktub dalam perlembagaan namun kejujuran seorang pemimpin itu diperhatikan rakyat.

"Saya ingat beliau rapat dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kalau lantikan (Bendahari BN Selangor) ini betul, Tengku Zafrul perlu beri penjelasan.

"Jika benar Tengku Zafrul adalah ahli UMNO, maksudnya beliau sebelum ini tidak bercakap benar," katanya ditemui pada sidang akhbar bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal di Pusat Kerja Lembah Pantai pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung lantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor seperti diumumkan oleh

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Konvensyen BN negeri di Setia Alam, Ahad lalu.

Ditanya sama ada lantikan itu merupakan satu ancaman kepada Pakatan Harapan (PH), Fahmi mengucapkan selamat maju jaya kepada Tengku Zafrul.

"Sama ada beliau akan membantu atau menjadi beban kepada BN Selangor, itu kita lihat kemudian. Biar pengundi yang tentukan.

"Saya nak ucapkan 'all the best', kalau nak pergi ke Kuala Selangor, mungkin beliau boleh kayuh basikal mahalnya ke sana," katanya.