Cukai jualan 10 peratus wujudkan persaingan setara: CTIM

Chow Chee Yen
Chow Chee Yen
A
A
A
CUKAI jualan 10 peratus yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat akan mewujudkan persaingan setara bagi barangan domestik dan import, kata Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen.

Beliau berkata, barangan import bernilai rendah (LVG) yang dibeli melalui platform e-dagang ketika ini tidak dikenakan cukai jualan dan cukai tersebut kebiasaannya dikenakan ke atas barangan yang dihasilkan di Malaysia, kilang akan mengenakan caj nilai pengedar barangan itu bersama cukai 10 peratus.

"Apabila kita membeli daripada pengedar tempatan dari mana-mana kedai di Malaysia, kita sebenarnya membayar cukai 10 peratus sedangkan untuk produk import, ia tidak dikenakan cukai jualan 10 peratus.

"Tetapi sekarang jika anda membeli barangan dari luar negara, cukai jualan 10 peratus akan dikenakan terhadap barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2022 pada Selasa.

Dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa telah membentangkan Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan oleh Dewan Rakyat pada persidangan kali ini yang berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.

"Barang import dengan jumlah nilai kurang daripada RM500 kini dikecualikan daripada cukai jualan apabila ia dibawa masuk menggunakan perkhidmatan kurier udara melalui lapangan terbang antarabangsa terpilih," kata Chow. - Bernama