Kerajaan galak golongan muda beralih ke sektor perladangan

Zuraida menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Zuraida menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggalakkan anak muda tempatan beralih kerja di sektor perladangan supaya dapat mengelak kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan dalam masa sama sedang berusaha untuk mengubah mentaliti golongan muda terhadap sektor berkenaan memandangkan ia menawarkan pendapatan lumayan.

“Tiada konflik sebenarnya apabila kita kata hendak ambil pekerja daripada India dan Pakistan tetapi dalam masa sama kita beritahu ingin kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sebenarnya pengambilan pekerja di kedua-dua negara ini merupakan langkah jangka masa pendek untuk atasi masalah kekurangan pekerja sektor perladangan.

“Bagaimanapun, kerajaan dalam masa sama ingin ubah sikap orang muda supaya ceburi bidang perladangan kerana ia menawarkan banyak keistimewaan antaranya suasana kerja yang lebih baik di luar bandar, selain pendapatan tinggi serta kemudahan lengkap seperti penginapan dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanyakan pendirian kerajaan sama ada ingin mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing atau sebaliknya.

Tambah Zuraida, bagi membuktikan keseriusan kerajaan untuk menarik minat lebih ramai golongan muda membabitkan diri dalam sektor perladangan, KPPK berkolaborasi dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan Karnival Kerjaya Agrikomoditi melalui MYFutureJobs.

“Karnival ini adalah merupakan salah satu platform untuk membantu pihak industri dalam menarik minat golongan belia menceburi sektor perladangan dan agrikomoditi di samping membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.