Pulau Pinang rakan kongsi rasmi pertama MATTA Online

Soon Hin (depan, dua dari kiri) pada sidang akhbar 'Penang Partners With Mattaonline.Travel di GeorgeTown pada Selasa.
Soon Hin (depan, dua dari kiri) pada sidang akhbar 'Penang Partners With Mattaonline.Travel di GeorgeTown pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang dipilih sebagai rakan kongsi rasmi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Online pertama dalam usaha mengaktifkan semula industri pelancongan di negeri ini.

MATTA Online merupakan aplikasi pasaran pelancongan dalam talian yang dilancarkan pada 22 Jun lalu oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, selain merancakkan semula industri pelancongan, usaha itu juga sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang.

Menurutnya, usahasama itu akan menawarkan kepada pelancong alternatif lain untuk menempah penginapan selain akan mengembangkan lagi aktiviti promosi yang ditawarkan melalui pelbagai platform e-dagang, yang menjadi semakin penting sejak penularan Covid-19.

"Kita optimis dengan kerjasama ini yang menawarkan pelbagai keseronokan yang terdapat di Pulau Pinang termasuk penginapan, tempat menarik untuk dilawati, berjenis-jenis makanan dan persekitaran semula jadi antaranya pantai dan bukit.

"Pelancaran aplikasi pasaran pelancongan dalam talian ini merupakan inisiatif yang tepat pada masanya terutamanya ketika negara berada dalam pascawabak. Usaha ini akan membolehkan ejen dan pengusaha pelancongan yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkannya melalui ruang digital untuk merancakkan semula perniagaan mereka," katanya pada sidang akhbar 'Penang Partners With Mattaonline.Travel di sini pada Selasa.

Kata beliau, menyedari potensi platform e-dagang yang semakin berkembang, Pelancongan Negeri Pulau Pinang menyifatkan usahasama itu sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada MATTA kerana giat mempromosikan Pulau Pinang menggunakan platform ini. Ia membolehkan pemegang taruh dalam industri pelancongan akan kekal kreatif, tangkas dan responsif terhadap perubahan dalam pasaran terutamanya ketika waktu yang sukar ini.

"Walaupun sempadan antarabangsa telah dibuka semula, pelancongan domestik masih penting untuk mengaktifkan semula pasaran mereka. Pulau Pinang sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi pelancongan dan kita melihat kepada ruang pasaran secara digital sebagai saluran untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak termasuk ahli MATTA yang mengambil bahagian secara aktif di dalam MATTAOnline.travel," katanya.

Sementara itu, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, usaha perintis MATTA untuk platform dalam talian itu adalah untuk menyokong ejen pelancongan dari segi pemasaran.

Katanya, MATTA Online juga menyediakan alternatif kepada pengguna untuk membeli daripada platform berlesen dalam usaha menghapuskan penipuan melibatkan penipuan internet dan ejen pelancongan tidak berlesen.

"Kita menerima lebih sejuta maklum balas dan lebih 600,000 capaian daripada media sosial kita dalam mempromosikan MATTA Online. Melalui platform ini juga, kita telah menjana lebih daripada setengah juta daripada jumlah jualan sejak ia dilancarkan kurang daripada sebulan yang lalu.

"Susulan pengumuman terbaru kerajaan untuk menyambung semula pelancongan antarabangsa, ia juga dilihat sebagai peluang untuk mempromosikan Malaysia terutamanya Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang selamat," katanya.

MATTA Online merupakan platform ahli persatuan terdiri daripada ejen pelancongan dan pengendali pelancongan babitkan hotel, syarikat penerbangan, pusat tarikan, taman tema dan penyedia pelancongan lain.

Ia juga satu platform yang membolehkan ahli MATTA memasarkan terus produk mereka kepada pengguna selaras dengan peningkatan permintaan rakyat untuk perjalanan domestik dan luar negara.