Nancy Pelosi, delegasi kongres AS tiba di Malaysia

Nancy Pelosi
Nancy Pelosi
A
A
A
KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi diiringi delegasi kongres tiba di sini pada Selasa sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Pesawat khas yang membawa Pelosi dan delegasinya mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada jam 10.30 pagi.

Ketibaan Pelosi, 82, yang mengenakan sut merah jambu disambut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon. Turut hadir Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters.

Ia adalah lawatan sulung Pelosi ke Malaysia. Turut serta dalam kunjungan itu dengan pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat, Gregory Meeks. Pelosi, pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker dewan.

Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.

Lawatan beliau menjadi tumpuan banyak pihak yang menantikan sama ada Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya.

Ketika berada di sini, beliau dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen pada tengah hari sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel terkemuka di sini.

"Lawatan itu antara lain akan menumpukan kepada isu keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik," memetik kenyataan akhbar pejabat Pelosi.

Bagaimanapun, pejabat Pelosi tidak menyatakan sama ada beliau akan melawat Taiwan di tengah-tengah spekulasi pulau itu turut termasuk dalam agenda lawatannya yang dikatakan bakal mengundang kemarahan China. Andai spekulasi itu menjadi kenyataan ia disifatkan satu isyarat positif kepada kem pro-kemerdekaan di pulau itu.

Menurut Kementerian Luar China jika Pelosi melawat Taiwan, Beijing akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya, dan AS perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kesan yang timbul daripada lawatan itu.

AS menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 berikutan kemerdekaan Malaya daripada Britain.

Pada April 2014, hubungan dua hala Washington dan Kuala Lumpur dinaik taraf kepada Perkongsian Komprehensif. - Bernama