Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin apabila Indeks Dolar AS (DXY) menghentikan trend menurun selama tiga hari pada paras bulanan terendah.

DXY yang memegang asas rendah sekitar 105.80 semasa sesi dagangan Asia pada Isnin, mengurangkan kerugian baru-baru ini dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang data pekerjaan AS yang akan dikeluarkan minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4529/4540 berbanding dolar AS daripada 4.4495/4520 pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS dan ringgit terus kekal dalam julat yang ketat walaupun DXY turun lebih rendah kerana Rizab Persekutuan AS dijangka tidak menaikkan kadar faedah dalam pendirian monetarinya.

"Penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dua suku berturut-turut menunjukkan ekonomi AS dijangka mengalami kelembapan pada separuh kedua tahun ini.

"Ini mungkin membawa kepada kadar inflasi yang lebih perlahan kerana permintaan yang kukuh mungkin disekat oleh kos pinjaman yang lebih tinggi. Saya menjangkakan dinamik yang sama akan berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management,Stephen Innes berkata, terdapat reaksi harga yang luar biasa terhadap indeks pengurus pembelian (PMI) Caixin China untuk sektor perkilangan yang berada pada paras 49 pada Julai, turun daripada 50.2 pada Jun dan juga terhadap data eksport Korea Selatan.

"Ini telah menyebabkan kelemahan dalam mata wang Asia walaupun pasaran ekuiti kebanyakannya dalam keadaan stabil. Data China yang lebih lemah memberi kesan kepada proksi pertukaran asing serantau China yang lain seperti ringgit,” kongsinya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2345/2364 daripada 3.2243/2266 pada Jumaat, susut berbanding yen Jepun kepada 3.3735/3753 daripada 3.3347/3368.

Selain itu, unit tempatan menguncup berbanding euro kepada 4.5695/5716 daripada 4.5385/5410 pada Jumaat dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4524/4548 daripada 5.4048/4078 sebelumnya. - Bernama