Dr Amalina titip doa, mohon kesembuhan Ainul Mardhiah

Tangkap layar Twitter Dr Amalina.
Tangkap layar Twitter Dr Amalina.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kritikal Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, yang ketika ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) akibat jangkitan kuman sekali lagi mendapat perhatian daripada pelatih pakar bedah Imperial College London (Imperial), Dr Nur Amalina Che Bakri.

Beliau sebelum ini pernah terbabit dalam pembedahan Ainul Mardhiah akibat ketumbuhan pada mulut di London empat tahun lalu.

Dr Nur Amalina menerusi Twitter rasminya pada Isnin berkata, beliau baru sahaja mendapat berita mengenai perkembangan Ainul Mardhiah.

Justeru, beliau meminta agar orang ramai mendoakan kesembuhan kanak-kanak tersebut.

“Baru sahaja mendapat khabar berita daripada ibu Ainul. Ya ALLAH, Marilah kita sama-sama doakan untuk adik Ainul. Semoga cepat sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Nur Amalina turut menitip doa supaya Ainul Mardhiah kuat melawan penyakit yang dihadapinya, sepertimana dia berjaya mengharungi pembedahan ketumbuhan sebelum ini.

“Ainul sayang, awak dah pernah laluinya banyak kali sebelum ini. Awak mampu lakukannya lagi. Teruskan berjuang sayang! Insya-ALLAH,” katanya.

Pada Isnin, ibunya,Nurul Erwani Zaidi memaklumkan Ainul Mardhiah kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) akibat jangkitan kuman.

Dia yang berkongsikan perkara itu di Instagram berkata, Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital.

Kongsi Nurul Erwani lagi, keadaan Ainul Mardhiah juga agak kritikal dan tenat.