Malaysia bebas nikotin, berani berubah

Khairul Nizam
Khairul Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Briged Negaraku menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seterusnya menyambut baik dan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ketagihan merokok.

Presidennya, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, dasar tersebut secara asasnya adalah satu inisiatif yang sangat bagus dan sepatutnya sudah lama diketengahkan oleh kerajaan, sekali gus membentuk generasi kelahiran seawal tahun 2000 untuk terlibat sama sebagai generasi penamat (GEG).

Menurutnya, rokok dan vape sememangnya telah difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mendatangkan kemudaratan kesihatan, selain mengundang ramai pelajar sekolah berhadapan dengan masalah disiplin.

Beliau berkata, walaupun rokok telah lama bertapak di negara ini tetapi permasalahan melibatkan para pelajar yang menghisap vape tidaklah seteruk seperti apa yang berlaku pada hari ini.

"Generasi yang ada pada masa ini merupakan harapan besar dalam membangunkan negara pada masa hadapan, maka ia perlu diselamatkan daripada budaya tidak baik.

"Kaedah yang diutarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini dilihat akan menjadi seperti salah satu kaedah didikan keluarga Melayu iaitu 'pukul anak sindir menantu'.

"Untuk itu, generasi GEG yang bakal dilahirkan ini akan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang bahaya rokok dan vape terhadap faktor kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Khairul berkata, generasi kini dilihat lebih terbuka sehingga kadang kala terlupa nilai dan peradaban murni yang telah dibina masyarakat terdahulu.

Malah katanya, sekiranya ditegur atau dipertikai kehendak generasi baharu itu, kumpulan anak muda tersebut merasakan diri mereka tidak mendapat keadilan.

Tambahnya lagi, kumpulan generasi baharu itu turut merasakan kononnya mereka dizalimi serta tindakan dikenakan adalah berat sebelah terutama dalam isu rokok dan vape.

"Selain membendung isu rokok dan vape dalam kalangan pelajar serta anak muda, pendekatan yang digunakan oleh kerajaan ini bertujuan menegur generasi dewasa ibarat 'pukul anak sindir menantu'.

"Diharap tindakan serampang dua mata ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada usaha memupuk kesedaran buat generasi lebih dewasa terhadap budaya merokok dan vape," katanya.

Dalam pada itu katanya, usahawan dan pihak pemegang taruh secara langsung dengan industri rokok dan vape tidak perlu melatah kerana ia baru permulaan.

Jelasnya, kaedah yang digunakan adalah bersifat 'soft landing', tanpa menyentuh kepada pihak pembekal rokok dan vape.

Menurutnya, dasar yang bakal digunakan bukanlah melarang secara menyeluruh atau mutlak untuk aktiviti penjualan tetapi sebaliknya hanya melibatkan sedikit penambahan.

"Jika sebelum ini larangan kepada pembeli yang berumur 18 tahun ke bawah, tetapi selepas dasar ini dilaksanakan, ia melibatkan penambahan larangan kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007.

"Maka mereka (usahawan) boleh terus berniaga seperti biasa tetapi terikat dengan tambahan undang-undang baharu ini," katanya.