Gadis Melayu berat hati berpisah dengan ibu angkat Cina

Rohana sebak mendengar nasihat yang dititipkan Hoi Lan.
Rohana sebak mendengar nasihat yang dititipkan Hoi Lan.
A
A
A

MELAKA - Meskipun gembira bergelar mahasiswa universiti awam, namun Rohana Abdullah berat hati untuk berpisah dengan ibu angkat yang menjaganya sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan ibu kandungnya.

Rohana, 22, yang dijaga seorang bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, 84, berkata, di sudut hatinya tetap ada kerisauan kerana selama ini mereka banyak menghabiskan masa bersama selain ibu angkat semakin tua.

Menurutnya, ibu angkat yang mesra dipanggil Laoshi sempat menitipkan beberapa nasihat kepadanya sebelum mendaftarkan diri sebagai pelajar Diploma Sains Komputer Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Katanya, Laoshi juga berpesan agar dia sentiasa berkelakuan baik, berakhlak murni dan menjaga solat.

"Laoshi pesan jangan lupa pada keluarga, selalu telefon dia dan belajar rajin-rajin dan jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan untuk sambung belajar," katanya ketika ditemui pemberita selepas mendaftarkan diri di Kompleks Dewan Kuliah UTeM di Durian Tunggal di sini, pada Isnin.

Tambahnya, ini pertama kali dia berpisah dengan ibu angkatnya itu dalam tempoh yang lama dan akan cuba untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu dikelilingi rakan-rakan pengajian.

Rohana bersama ibu angkatnya menunjukkan kad pelajar selepas mendaftarkan diri sebagai pelajar di UTeM, Durian Tunggal di sini pada Isnin.
Rohana bersama ibu angkatnya menunjukkan kad pelajar selepas mendaftarkan diri sebagai pelajar di UTeM, Durian Tunggal di sini pada Isnin.

"Sebelum ini kami pernah berpisah paling lama seminggu dua sahaja. Ketika itu saya mengikuti aktiviti sekolah.

"Untuk jangka masa lama, dan jarak UTeM pula jauh dari Kuala Lumpur, memang agak berat (berpisah) lagipun Laoshi dah tua, tak ada sapa yang menjaganya," katanya.

Rohana yang ayu berbaju kurung berharap dapat mencapai cita-citanya dalam bidang yang digemari sekali gus membalas semula jasa serta pengorbanan ibu angkatnya.

Media sebelum ini pernah melaporkan kisah gadis yang tular di media sosial kerana ditinggalkan ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi.

Kisah hidupnya itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.