Waspada ancaman Laos

Antara aksi pemain Malaysia ketika menentang Thailand di temasya AUG 2022 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani.
Antara aksi pemain Malaysia ketika menentang Thailand di temasya AUG 2022 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani.
A
A
A

SKUAD bola sepak negara tidak boleh memandang mudah atau menutup sebelah mata tentangan yang bakal diberikan Laos dalam aksi terakhir round robin, temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 pada Selasa.

Peringatan itu diberikan pengendali skuad negara, Ridzuan Abu Shah yang mengakui Laos mampu memberi kejutan sekiranya skuad kendaliannya terlalu mendabik dada dalam pertemuan yang dijadual berlangsung di Stadium Universiti Ubon Ratchathani.

“Walaupun mereka (Laos) tewas 3-0 ketika menentang Thailand dalam aksi sebelum ini, tidak bermaksud kita boleh pandang rendah dengan kemampuan mereka.

“Malah ketika saya buat analisis video perlawanan itu, Laos cukup bahaya dan saya tidak tolak kemungkinan mereka mampu beri kejutan buat pasukan negara sekiranya mereka ambil mudah perlawanan ini.

“Sebab kalau boleh, kita tak nak ada elemen kejutan ini berlaku yang mungkin meranapkan impian kita untuk mara ke perlawanan akhir.

“Jadi saya harap mereka akan dapat mengekalkan momentum permainan ketika menentang Thailand semalam dan kekal kepada game plan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad

Pasukan bola sepak negara selangkah untuk mara perlawanan akhir selepas seri menentang Thailand 2-2 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Thailand.

Pada aksi tersebut, Malaysia bermula garang apabila berjaya mendapatkan gol awal menerusi Mohd Alif Najmi Mohd Radzi pada minit ke-8 dan Muhammad Zulkarnain Nasir pada minit ke-41 untuk memimpin separuh masa pertama.

Bagaimanapun Thailand berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Kasitinard Sriphirom pada minit ke-50 dan sepakan percuma pemain gantian Adunlikhit minit ke-77.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan status tonggak utamanya, Tuan Noor Muqris Tuan Noor Marzuki, Ridzuan memberi bayangan pemain tersebut mungkin tidak dapat diturunkan ketika menentang Laos selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Bagaimanapun beliau tidak risau dengan ketiadaan pemain itu memandangkan sudah menjumpai pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.

“Saya akui, ketiadaan pemain itu mungkin beri kesan kepada corak permainan pasukan. Sebab dia merupakan antara pemain yang menunjukkan work rate yang tinggi dalam setiap perlawanan.

“Bagaimanapun, kami sudah menjumpai pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain itu. Saya harap pemain itu mampu untuk memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan menentang Laos nanti,” ujarnya.