Sungai Tiang, Pengkalan Kundor rebut Piala MB Kedah

Pasukan DUN Sungai Tiang. - Foto KFA
Pasukan DUN Sungai Tiang. - Foto KFA
A
A
A

ALOR SETAR -Pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang akan bertemu DUN Pengkalan Kundor di pentas final bagi merebut Piala Menteri Besar Kedah Widad K-League 2022 pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron berkata, dua pasukan tersebut mara ke pentas akhir selepas mengenepikan 33 pasukan DUN lain di seluruh negeri ini sejak kejohanan ini bermula pada awal Jun lalu.

Menurutnya, ahli jawatankuasa pertandingan tempatan KFA bersetuju menetapkan perlawanan final diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar dan sepak mula pertandingan pada jam 4.15 petang.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan hadir pada perlawanan akhir dan seluruh peminat sukan bola sepak dijemput untuk sama-sama memeriahkan aksi akhir antara pasukan Sungai Tiang dan Pengkalan Kundor pada 5 Ogos ini.

"Pentas Piala Menteri Besar Kedah Widad K-League 2022 telah sampai ke penghujungnya. Seramai 857 pemain dan 245 pegawai dari 35 pasukan dari seluruh Kedah telah menyertai kejohanan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pasukan DUN Sungai Tiang mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan DUN Bayu 2-0 di Stadium Mini Pendang pada separuh akhir pada Jumaat manakala DUN Pengkalan Kundor berjaya menewaskan DUN Belantek menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 setelah terikat tanpa jaringan.

Pasukan DUN Pengakalan Kundor. - Foto KFA
Pasukan DUN Pengakalan Kundor. - Foto KFA

Pasukan yang muncul johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala naib johan pula membawa pulang RM5,000.

Jelas Zulkifli, misi dan visi kejohanan ini bagi mengembalikan semula suasana pertandingan bola sepak di seluruh Kedah mencapai sasaran selain menjadi platform buat pemain mempamerkan bakat masing-masing dalam tempoh tiga bulan ini.

Menurutnya, Piala Menteri Besar Kedah adalah anjuran kedua oleh KFA pada tahun 2022 selepas Junior Cup 2022 bawah 12 tahun pada Februari lalu.

"Selepas tamat kejohanan ini, KFA seterusnya akan menganjurkan kejohanan ketiga pada tahun ini iaitu Widad K-League Piala KFA 2022 dan dijangka akan bermula pada pertengahan September sehingga November.

"Sebanyak 16 pasukan melibatkan Ahli Gabungan KFA dan satu pasukan jemputan dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan ini melibatkan umur di antara 18 hingga 28 tahun sahaja. Manakala satu pasukan jemputan diberikan pengecualian umur," ujarnya.