Pengorbanan tiada sempadan

A
A
A

No Image Caption

Penghargaan buat pahlawan negara

Berapa ramai di antara kita yang masih ingat lagu Tanah Pusaka ciptaan Tan Sri Ahmad Merican sekitar tahun 1960-an dahulu? Bait-bait lirik ‘Musuh melanggar ku gempur, sungguh rela ku gugur, kerana kau tanah pusaka, biar putih tulang jangan putih mata’, sememangnya membawa maksud yang sangat mendalam buat mereka yang benar-benar memahaminya.

Berlatar belakangkan landskap negara yang ketika itu berjaya mencapai kemerdekaan dan seterusnya diperkukuhkan dengan penubuhan Malaysia, sudah tentunya perjalanan yang dilalui anak watan ini amatlah perit biarpun terpaksa mengorbankan nyawa demi melihat pertiwi tercinta ini kekal aman selamanya.

Namun lebih penting, ia sebagai sebuah pengharapan agar negara yang kaya dengan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya ini dapat terus bersatu serta menikmati kehidupan lebih baik, harmoni dan sejahtera bukan sahaja untuk era masa kini, malah untuk kesinambungan kesejahteraan generasi masa hadapan.

Alhamdulillah, hari ini setelah lebih 60 tahun berlalu, Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur. Pun begitu, untuk mencapai keadaan tersebut, tidaklah semudah yang disangka.

No Image Caption



Ramai perwira dan perajurit negara khususnya daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengorbankan kepentingan diri dan keluarga serta turut menggadaikan nyawa hanya untuk memastikan rakyat terus mengecapi kesejahteraan serta keselamatan yang diidam-idamkan mereka.

Para perwira dan perajurit yang terkorban atau kehilangan anggota badan semasa melaksanakan tugas dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara sedar akan risiko yang mereka hadapi ini. Namun, bukan risiko yang perlu diukur nilai oleh rakyat sehingga menimbulkan persepsi bimbang untuk memberi galakan kepada anak-anak muda berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

Sebaliknya, masyarakat perlu melihat pembentukan sikap keberanian luar biasa yang diterapkan dari awal latihan yang mendidik rohani dan naluri mereka untuk sedia berkorban demi negara yang dicintai. Inilah yang sepatutnya difahami dan dipupuk terutama kepada generasi muda kerana kedaulatan sesebuah negara itu hanya boleh dipertahankan oleh rakyat negara itu sendiri.

Seperkara yang harus turut diberikan perhatian adalah kebajikan ahli keluarga, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan kerana ada diantara mereka yang terpaksa menjadi ketua keluarga secara tiba-tiba.

Sewajarnya mereka ini layak menerima penghormatan dan pengiktirafan yang setara. Manakan tidak, mereka hilang tempat bergantung serta semangat yang selama ini menjadi punca kekuatan dalam menempuhi kehidupan bersama seorang pahlawan negara. Kenyataannya, bukan semua sanggup menempuhi hidup dan risiko bersama pasangan yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan ini.

No Image Caption



Di pihak kami, jasa dan pengorbanan para pahlawan ini tidak pernah dilupakan. Bahkan, nama-nama mereka yang terkorban di medan pertempuran ketika mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara telah ditempa dengan tinta emas dalam lipatan sejarah negara. Ia bagi menonjolkan sikap keberanian luar biasa yang dimiliki mereka agar dapat menjentik semangat dan sokongan semua pihak terutama masyarakat awam.

Tidak dilupakan, kebajikan ahli keluarga yang kehilangan tempat bergantung juga tidak pernah dipandang ringan. Status mereka yang ibarat ‘ahli keluarga besar’ ATM dan PDRM sentiasa menjadi pegangan kami.

Sebilang masa, ia dipantau malah mereka turut dibantu untuk meningkatkan kemampuan atau potensi kemahiran agar dapat sama-sama menambahbaik kelangsungan kehidupan demi masa depan yang lebih baik untuk mereka sekeluarga. Selagi nyawa di kandung badan, kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab kami terhadap keluarga para pahlawan ini. Itulah janji kami, Insya-ALLAH.

Terima kasih kepada kerajaan dan negara kerana telah mengisytiharkan 31 Julai setiap tahun sebagai Sambutan Hari Pahlawan. Setidak-tidaknya, pengisytiharan ini membuka ruang dan peluang untuk rakyat sama-sama merasai pengorbanan dan jasa mereka yang bergelar pahlawan ini sekali gus mencetus keinginan dalam memberikan penghargaan serta penghormatan atas apa yang telah dilakukan mereka.

Erti kata lain, sambutan ini juga bukan sekadar meraih keprihatinan tersebut semata-mata malah sebagai mencerminkan jati diri sebuah masyarakat yang progresif, bertamadun serta menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi selama ini.

No Image Caption



Saya selaku Panglima Angkatan Tentera bersama rakan-rakan sejawat dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan keselamatan merasa bangga kerana kami dikelilingi oleh pahlawan-pahlawan yang sanggup bergadai nyawa demi negara tercinta.

Pun begitu, cabaran yang kami hadapi adalah untuk terus melahirkan pahlawan-pahlawan negara di kalangan generasi muda kerana kedaulatan serta kepentingan negara perlu menjadi satu keutamaan yang kekal.

Justeru, mengambil semangat Hari Pahlawan yang akan disambut pada 31 Julai ini, saya mengajak seluruh rakyat untuk terus menanamkan semangat keberanian dan sayangkan negara serta bersama-sama sebagai sebuah Keluarga Malaysia memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan nusa dan bangsa tercinta ini dapat terus terpelihara sehingga bila-bila.

Kedaulatan negara, tanggungjawab bersama. Selamat menyambut Hari Pahlawan Tahun 2022.