Timbalan Speaker tegur Pejabat Peguam Negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur Jabatan Peguam Negara dan kementerian berkaitan supaya menyemak terlebih dahulu teks Rang Undang-Undang (RUU) yang dirangka sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ini kerana katanya, ia bagi mengelak berlaku kekeliruan apabila ia dibentangkan sehingga keabsahannya boleh dipertikaikan hanya disebabkan kesilapan dalam teks berkenaan.

“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rasah. Ini satu perspektif, RUU di bahas di dalam dewan ini tetapi kalau kita lihat dalam teks bahasa Melayu, ada bahasa Inggeris. Yang Berhormat lihat apa beza antara sheep (biri-biri) dan goat (kambing). Sheep dalam bahasa Melayu itu apa, goat dalam bahasa Melayu itu apa?

“Saya mohon pihak kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil maklum terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara bahagian merangka.

“Sebelum teks RUU berwarna biru ini dibentang, tolonglah semak betul-betul. Kita hendak keabsahan di dewan ini. Sila ambil maklum pihak Jabatan Peguam Negara dan kementerian yang bertanggungjawab tentang RUU dan pembentangan dalam dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) mempersoal pengguna bahasa Inggeris dalam RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 yang diedarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat kerana ia bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin mengangkat bahasa Melayu.

“Sebelum saya pergi kepada isi kandungan perbahasan. Saya ingin membuat teguran mungkin bukan kepada MAFI tetapi Pejabat peguam Negara sebab saya nampak dalam versi yang diserah kepada ahli Yang Berhormat terdapat versi bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam versi bahasa kebangsaan sepatutnya jadual ketiga yang menggariskan keenam-enam jenis ternakan yang dimasukkan untuk dibincangkan yang menjadi perkara subjek pada perbahasan hari ini sepatutnya ditulis dalaman bahasa kebangsaan.

“Walaupun tadi saya dengar Timbalan Menteri menggunakan bahasa kebangsaan tetapi Pejabat Peguam Negara nampaknya tidak melaksanakan apa yang telah digariskan atau diniatkan oleh PM yang mahu martabatkan bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah sebelum itu membentangkan RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 untuk meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) bagi bacaan kali kedua sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat.

Pindaan ini dengan tujuan untuk menambah baik peruntukan sedia ada terutamanya berhubung peluasan tafsiran bagi keluaran pertanian dengan memasukkan komoditi ternakan tertentu iaitu lembu dan sejenis dengannya, kambing, bebiri, rusa, arnab dan ternakan unggas seperti ayam, puyuh dan itik ke dalam RUU tersebut.

Selain itu, pindaan Akta 141 bermatlamat untuk memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi ternakan yang memberi kesan langsung kepada keupayaan modal dan pasaran terutama bagi pengeluar kecil dan sederhana.

Penglibatan FAMA samada melalui pengaturan pasaran dengan pengukuhan kerjasama strategik bersama industri mahupun secara langsung melalui pembelian di peringkat ladang.