Kes tenat Covid-19 Korea Selatan catat paras tertinggi dalam 2 bulan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Kes Covid-19 baharu Korea Selatan turun di bawah paras 50,000 pada Isnin berikutan ujian saringan yang berkurang pada hujung minggu, namun bilangan pesakit yang tenat mencecah paras tertinggi dalam dua bulan.

Keadaan itu berlaku ketika virus tersebut kembali merebak didorong oleh peningkatan yang sangat tinggi disebabkan subvarian omicron BA.5 yang mudah berjangkit.

Angka jangkitan baharu bertambah sebanyak 44,689 kes, termasuk 436 kes import, membawa jumlah keseluruhan kes kepada 19,820,739, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Bilangan kes jatuh mendadak daripada 73,589 pada hari sebelumnya berikutan jumlah saringan yang berkurang tetapi masih lebih besar daripada 35,860 kes yang dicatatkan seminggu sebelumnya.

Peningkatan jangkitan baharu menyebabkan bilangan pesakit yang tenat turut meningkat.

Menurut Yonhap, negara itu melaporkan 287 kes kritikal pada Isnin, angka tertinggi selepas 18 Mei, dengan jumlah keseluruhan 313 kes.

KDCA melaporkan 21 kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 25,068. - Bernama