Rebat gangguan elektrik tertakluk kepada GSL

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Rebat gangguan elektrik yang akan diberikan kepada pengguna terjejas akibat bekalan elektrik terputus di beberapa negeri pada Rabu lalu tertakluk kepada Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, GSL akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau tidak.

"GSL merupakan dokumen yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam memastikan kualiti bekalan elektrik dan perkhidmatan yang diberikan oleh TNB dalam keadaan yang terbaik.

"Sekiranya pihak TNB gagal mematuhinya, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pengguna-pengguna yang terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian Rabu lalu, sekitar sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus mulai jam 12:39 tengah hari.

Bagaimanapun, bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020.

Berikutan itu, Takiyuddin pada Sabtu mengumumkan TNB akan memberi rebat kepada pengguna terutama peniaga yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Beliau menjelaskan, ST dan TNB masih menjalankan siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik berkenaan.

"Siasatan ini dijangka selesai dalam tempoh masa satu bulan daripada tarikh kejadian gangguan bekalan.

"Selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan tersebut turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi GSL," tambahnya.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

Kata beliau lagi, GSL diwujudkan bagi menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan prestasi perkhidmatan TNB.

"GSL bekalan elektrik ini boleh didapati di laman sesawang ST," ujarnya.