'Jangan serang sesama sendiri hingga rugikan parti' - Ismail Sabri

Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Noh (dua dari kanan) pada Konvensyen BN Selangor pada Ahad
Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Noh (dua dari kanan) pada Konvensyen BN Selangor pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin supaya tidak menyerang satu sama lain sehingga merugikan parti.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, ahli seharusnya menjadi lidah untuk membawa berita baik oleh kerajaan seperti subsidi berjumlah RM77 bilion dan inflasi rendah sebanyak 3.4 peratus.

Menurutnya, ahli BN harus menjelaskan kepada rakyat di akar umbi dan di media sosial bagi menghebahkan berita baik seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mendapat sokongan daripada rakyat.

"Pilihan Raya Umum (PRU) sudah tidak lama dan kita harus buat kerja seumpama akan ada PRU esok dan parti kita harus digambarkan sebagai parti yang kuat menerusi kesepakatan kita," katanya pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor pada Ahad.

Ahli Wanita UMNO dan BN yang hadir pada Konvensyen BN Selangor pada Ahad.
Ahli Wanita UMNO dan BN yang hadir pada Konvensyen BN Selangor pada Ahad.

Hadir sama, dalam Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City itu ialah Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin Selangor mempunyai pengalaman amat luas dan sebaik Parlimen dibubarkan, parti itu mahu Selangor tawan semula negeri dan juga meletakkan sepenuhnya kerajaan Persekutuan di bawah BN.

Beliau bagaimanapun berkata, jika mahu Selangor menang, ia tidak boleh bersandarkan emosi sahaja dan ahli mesti melihat kepada fakta dan asas kukuh manakala fakta sokongan itu haruslah jelas.

Sehubungan itu, beliau berkata, bermula sekarang ahli BN mesti menyerang pembangkang dan bukannya menyerang sesama sendiri.

"Pada tahun 2008 kita tewas di Selangor, daripada 54 kerusi pada 2004, kita menang 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja dan pada PRU13, jumlah kerusi kita mengecil lagi kepada 12.

"Pada PRU14, BN hanya memenangi empat kerusi DUN iaitu Hulu Bernam, Sungai Air Tawar, Sungai Burong dan Sungai Panjang, sebelum bertambah satu lagi kerusi iaitu DUN Semenyih selepas berlaku PRK.

"Kali ini (pada PRU) kita kata, kita (akan) menang lagi, namun harus ada fakta jadi, kita harus ada kajian sikap untuk mengetahui kekuatan musuh," katanya.

Beliau kemudiannya meminta semua parti komponen BN di Selangor agar dapat melaksanakan kajian sikap menjelang PRU ini untuk memahami kekuatan parti dan lawan.

"Kita tidak mahu kecundang lagi dan ada yang sudah membandingkan dengan kerajaan PH yang tidak mahu diberi peluang kedua.

"Saya yakin rakyat akan beri kita peluang kedua jika kita dapat meyakinkan rakyat dan minta kajian sikap (ini) dibuat oleh Wanita menerusi semua komponen termasuk MIC dan MCA sebelum PRU," katanya.

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Perdana Menteri (dua dari kanan) pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor.
Noh (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Perdana Menteri (dua dari kanan) pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor.