Bank Rakyat, Sinar Harian kerjasama jayakan Fun Walk

Nizam
Nizam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat bekerjasama dengan Sinar Harian dalam menjayakan program Fun Walk Sinar Harian 16 yang dianjurkan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program berkenaan bukan sahaja dilihat mendapat sambutan yang memberangsangkan malah, dilakukan pada masa yang sesuai selepas dua tahun negara berada dalam pandemik Covid-19.

"Saya rasa sejak kita dibenarkan untuk menganjurkan program-program besar seperti ini, ia sesuai dalam memupuk semangat kesukanan.

"Ini adalah sesuatu yang ramai orang dah buat dan Sinar Harian antara media yang pertama menganjurkan program seperti ini, jadi saya rasa ia satu inisiatif yang bagus," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Nizam berkata, Bank Rakyat sentiasa menyokong inisiatif yang dibawa oleh media-media tempatan termasuk Sinar Harian.

Lebih 3,000 peserta menyertai acara Fun Walk Sinar Harian 16 di dataran DBKL. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Lebih 3,000 peserta menyertai acara Fun Walk Sinar Harian 16 di dataran DBKL. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Bank Rakyat adalah sebuah organisasi yang mementingkan kerjasama dan penglibatan media, hari ini kita ada menyerahkan pulut kuning serta sedikit sumbangan kewangan untuk program ini.

"Saya rasa ini adalah budaya sihat yang kita cuba pupuk pada masa sekarang.

"Program ini juga berjaya mengumpulkan beribu peserta untuk lari bersama-sama, itu sudah cukup bagus," ujarnya

Tambahnya, program besar seperti Fun Walk Sinar Harian 16 boleh dilaksanakan dengan skop yang lebih baik.

"Kita baru keluar dari pandemik Covid-19 dua tahun, jadi saya rasa bukan hari ini sahaja program Ahad bebas kereta ('car-free Sunday') ini boleh dibesarkan lagi.

"Jadi laluan yang kita ada lima kilometer (km) ini boleh jadi 10km.

No Image Caption

"Untuk aktiviti seperti ini, kita sangat menyokong dan saya sendiri pun sertai program ini, dan diharap ia diteruskan pada masa akan datang," jelasnya.

Acara Fun Walk Sinar Harian 16 menyaksikan lebih 3,000 peserta menyertai program tersebut sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian pada 31 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin tidak menyangka acara tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kota.

Jelasnya, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Sinar Harian masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat.