'Semua negeri perlu guna pakai RUU Anti Lompat Parti'

Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu turut diguna pakai oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pindaan itu bagi memastikan tiada lagi ADUN berbuat demikian sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

"Saya melihat perkara ini sangat penting kerana ia akan memberi imej yang baik kepada semua ADUN bahawa mereka menolak aktiviti lompat melompat parti yang boleh membangkitkan kebencian rakyat dan pengundi di luar sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahu negeri diterajui parti itu untuk meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Menurutnya, pindaan itu selari dengan Dewan Rakyat yang baru sahaja berjaya meminda RUU Anti Lompat Parti pada Khamis.

Beliau berkata, mesej yang diberi oleh UMNO itu jelas menunjukkan parti itu serius dalam bab menjaga integriti ADUN selain mengiktiraf bahawa mandat rakyat adalah segala-galanya untuk dipelihara.

Noor Hariri berkata, aktiviti melompat parti yang berlaku sebelum ini telah menyebabkan suasana politik negara menjadi huru-hara.

Beliau berkata, situasi itu telah menjejaskan pelaburan luar sekali gus menyebabkan kemerosotan ekonomi negara.

"Bukan itu sahaja, pemimpin negara luar juga akan skeptikal dengan laungan demokrasi yang dipermainkan oleh ahli-ahli politik tidak bertanggungjawab ini," katanya.