UniSZA terima 1,845 pelajar baharu bermula 1 Ogos

UniSZA
UniSZA
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedia menerima 1,845 pelajar baharu bagi sesi Akademik 2022/2023 bermula 1 Ogos ini.

Naib Canselornya, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, kemasukan pelajar ke kampus adalah secara berperingkat iaitu 200 pelajar asasi pada 1 Ogos dan 1,685 pelajar diploma pada 8 Ogos.

"UniSZA telah membuat persediaan untuk menerima kemasukan pelajar baharu. Kesemua pelajar baharu ini akan mengikuti pengajian dalam asasi sains dan perubatan serta 24 program diploma di tujuh fakulti.

"Sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka juga adalah sepenuhnya secara fizikal”, katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Jelas beliau, seramai 1,845 pelajar baharu itu akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula 8 hingga 12 Ogos.

"Kita mungkin akan menerima lagi jumlah pelajar baharu yang telah memohon bagi fasa rayuan dan sedang diproses oleh pihak KPT.

"Warga kampus mengucapkan tahniah dan selamat menjadi Keluarga UniSZA kepada mereka yang berjaya serta mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu yang akan mendaftar tidak lama lagi," katanya.