Sambutan Hari Pahlawan 2022 meriah, penuh istiadat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 di Dataran Pahlawan Negara, pada Ahad. Turut sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 di Dataran Pahlawan Negara, pada Ahad. Turut sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Lagu Negaraku dimainkan dengan diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.

Perbarisan Hari Pahlawan pada Ahad melibatkan 58 pegawai dan 867 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta 152 veteran daripada Persatuan Veteran ATM, Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Leftetenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Artikel Berkaitan:

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai 'last post' dengan menurunkan Jalur Gemilang.

Istiadat turut disajikan dengan persembahan pantomim mengenai pengorbanan pejuang negara iaitu kisah daripada peristiwa pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Peristiwa tersebut membabitkan pasukan Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanise yang terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu di bawah Kontinjen MALBATT 1 UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia).

Ketika itu, ibu Pejabat UNOSOM II telah meminta bantuan pasukan tentera Malaysia dan 19 RAMD Mekanise (MALBATT 1) telah dikerah ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit US Rangers dan kru helikopter Black Hawk yang terperangkap di pasar berkenaan akibat diserang oleh gerila pemberontak pimpinan Mohamed Farrah Aidid.

Dalam usaha menyelamatkan anggota US Rangers berkenaan, kereta perisai Condo yang dipandu oleh Koperal Mat Aznan Awang telah diserang hendap gerila pemberontak melalui tembakan roket RPG menembusi cermin hadapan kenderaan perisai tersebut sehingga menyebabkan kematian kepada anggota pemandu berkenaan.

Atas keberaniannya, Allahyarham Koperal Mat Aznan telah dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan kali terakhir diadakan pada 2018.

Pada 2019, istiadat berkenaan tidak dapat dilaksanakan akibat keadaan jerebu teruk yang melanda negara ketika itu manakala pelaksanaan istiadat berkenaan pada 2020 dan 2021 juga tidak dapat direalisasikan berikutan pandemik Covid-19. - Bernama