Beri mandat kepada PN pada PRU15: Abdul Hadi

Muhyiddin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Abdul Hadi pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Masjid Rusila malam tadi. - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Abdul Hadi pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Masjid Rusila malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru seluruh rakyat agar memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, walaupun gabungan parti itu tidak menyediakan manifesto ketika mengambil alih kerajaan, agenda membahagiakan rakyat yang diutamakan membuktikan prestasi cemerlang PN dalam mentadbir negara.

"Walaupun tidak mempunyai manifesto, tetapi PN sudah membuktikan kemampuan apabila berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat ketika kemuncak penularan pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

"Agenda utama PN adalah memulihkan ekonomi dan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat yang masih terkesan berikutan kenaikan harga barang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN peringkat Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, di sini, malam Sabtu.

Majlis pelancaran PN peringkat negeri itu dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN turut menawarkan kepada rakan parti lain termasuk UMNO supaya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyelamatkan negara.

"Kita minta rakyat memberi mandat kepada PN untuk membina kerajaan yang kukuh dan kuat. Sebab itulah kita ambil langkah melancarkan PN di seluruh negara.

"Kita ajak rakan-rakan daripada UMNO dan parti-parti lain ikut sama dalam PN untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab selamatkan negara, bukan berebut kuasa," katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, PN diasaskan daripada penyatuan parti Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstremis bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, gabungan itu juga menjadi galang ganti untuk berdepan krisis politik, kesihatan dan ekonomi pada 2020.

"Imej stabil yang ada pada PN dan keprihatinan terhadap rakyat serta kewibawaan berdepan krisis menjadi penanda aras untuk membuktikan kewibawaan PN mentadbir negara dan negeri.

"Saya yakin, dengan izin ALLAH SWT, Terengganu akan dikekalkan kemenangan dan kita akan dapat kemenangan untuk mentadbir Putrajaya," katanya.