Piala Raja Thai: Thailand libas Malaysia di separuh akhir

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Thailand di separuh akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand.
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Thailand di separuh akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand.
A
A
A

SKUAD sepak takraw kebangsaan terkandas di separuh akhir acara regu berpasukan lelaki Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 2-0.

Regu pertama dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi gagal mengutip mata pertama negara apabila dikalahkan gandingan Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Rachan Viphan 13-21, 20-22.

Regu kedua yang terdiri daripada Haziq Hairul Nizam Muhammad, Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir ketinggalan jauh ketika menentang Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Yodsawat Uthaijaronsri, sehingga terpaksa membawa masuk pemain gantian Zulkifli Abd Razak dan Muhammad Azlan Alias, namun akhirnya kecundang 10-21 dan 16-21.

Ini kegagalan kedua Malaysia pada separuh akhir selepas regu negara - Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Amirul Zazwan Amir - dikalahkan Thailand dalam acara antara regu 0-2, Selasa lalu.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin berkata, anak buahnya terpaksa menempuh laluan sukar dalam misi ke final setelah ditundukkan Korea Selatan 1-2 dalam peringkat Kumpulan B Divisyen Premier acara regu berpasukan lelaki.

Beliau berkata, pasukan Malaysia yang menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara terpaksa berdepan tuan rumah Thailand selaku juara Kumpulan A.

"Kita memang tahu kekuatan pasukan Thailand dalam sepak takraw tetapi skuad Malaysia telah mempamerkan persaingan sengit di persaingan separuh akhir hari ini," katanya.

Regu pertama negara dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Farhan Adam tewas kepada Lee Woo Jin, Kim Young Man dan Lee Myung Jung 16-21, 22-20, 17-21.

Regu kedua negara Ahmad Aizat Norazmi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi pula dikalahkan Lim Tae Qyun, Seow Woo Youngsu dan Jeong Won Deok 19-21, 21-15, 9-21.

Bagaimanapun regu ketiga Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir berjaya mengutip satu mata setelah mengetepikan cabaran Shim Jae Chel, Jeong Ha Sung dan Shin Seong Tae, 21-14, 21-9.

Esok, skuad sepak takraw negara akan menentang Laos di final acara beregu lelaki untuk memburu satu gelaran pada kejohanan tersebut. -Bernama