4 negeri hasrat pinda perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Negeri


WAN JUNAIDI
WAN JUNAIDI
A
A
A

SHAH ALAM - Empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah menyatakan hasrat untuk meminda secepat mungkin perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Langkah itu bagi membolehkan penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Wan Junadi berkata, kerajaan menyambut baik hasrat negeri terbabit dan ia dilihat sebagai satu langkah sihat bagi memperkukuhkan demokrasi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan RUU itu kelak tidak memaksa mana-mana negeri untuk patuh tetapi mereka diberi kebebasan memilih sama ada untuk ikut atau tidak.

“Kita di peringkat Kerajaan Persekutuan tidak mengambil kuasa ini daripada negeri.

“Pindaan telah dibuat kepada Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan serta kemasukkan Fasal 1 dimana kuat kuasa peruntukan ini di peringkat negeri hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Raja atau Yang Dipertua Negeri.

"Bagaimanapun, saya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua negeri bagi menerangkan kebaikan RUU ini, maka sekiranya pihak kerajaan negeri nampak ia adalah baik, mereka akan mengikut langkah yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan RUU Anti Lompat Parti dengan majoriti undian sebanyak 209 ahli Parlimen.

Wan Junaidi menambah, kerjasama daripada negeri itu itu dilihat bakal membolehkan RUU itu dapat diseragamkan dan dikuatkuasakan di peringkat negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, beliau memaklumkan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara bakal diadakan pada bulan Ogos 2022 sebelum bacaan pertama dan kedua.

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan untuk diperkenankan dan pewartaannya," jelas beliau.