Keputusan RoS elak perpecahan dalaman

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

IPOH - Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menerima pindaan Perlembagaan UMNO menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat mengelakkan perpecahan dalaman.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu juga merupakan tuntutan akar umbi yang dibuat menerusi Perhimpunan Agung Khas UMNO.

Menurutnya, akar umbi UMNO mahu supaya PRU15 diberikan laluan terlebih dahulu, berbanding pemilihan agar tidak mengganggu fokus jentera parti.

"Keputusan ini bererti bahawa apa yang kita khuatiri iaitu perpecahan dan kerosakan dalaman parti akan dapat kita elakkan dan kita boleh beri tumpuan kepada persediaan PRU15.

"Kita juga boleh mengurangkan politiking sesama kita kerana sekarang ini keutamaan kita, fokus kita adalah untuk memenangi PRU yang akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Bersama Bossku di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa RoS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.

Perhimpunan Agung Khas UMNO berlangsung pada Mei lalu meluluskan usul pindaan itu bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.