ROS lulus pindaan Perlembagaan UMNO

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Kelulusan tersebut berkuat kuasa pada Jumaat iaitu bertarikh 29 Julai 2022.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU15 diadakan.

"Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) pada petang Jumaat 29 Julai 2022.

"Sukacita dimaklumkan bahawa ROS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO.

"ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

"ROS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat),"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru tambah beliau, UMNO merakamkan penghargaan kepada ROS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan perlembagaan tersebut.

UMNO sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei.

No Image Caption