Muhyiddin beri bayangan PRU15 penggal akhir jadi calon

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan penggal akhir beliau bertanding sebelum bersara daripada politik.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada sebarang keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Mungkin penggal akhir, lepas itu berehat sahajalah duduk di rumah dengan isteri, cucu-cucu. Ramai lapan orang, anak-anak.

"Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya-ALLAH kita akan fikirkan perkara itu," katanya ketika menjawab soalan moderator ketika sesi dialog Majlis Pemulihan Negara bersama belia di Paya Bunga Hotel di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan untuk meneruskan bakti kepada rakyat.

"Badan masih sihat. Dulu kena kanser, doa semua makbul, ALLAH kurniakan saya kesihatan. Kalau pukul 'golf', sekali pukul 200 meter tu boleh pergi lagi. Maknanya tu masih boleh berkhidmat," katanya.

Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Kelapan selepas berlaku peralihan kuasa yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang menerusi Langkah Sheraton.

Pada Ogos lalu, beliau terpaksa melepaskan jawatannya selepas kehilangan kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Pada PRU14, beliau bertanding di kerusi Parlimen Pagoh atas tiket PH dan menang dengan majoriti 6,927 undi.