Pemandu ekskavator dikhuatiri tertimbus

Pemandu ekskavator (kanan) dipercayai tertimbus di tapak pembinaan selepas berlaku runtuhan tanah pada pagi Sabtu.
Pemandu ekskavator (kanan) dipercayai tertimbus di tapak pembinaan selepas berlaku runtuhan tanah pada pagi Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang lelaki dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah di sebuah tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang dekat sini pada pagi Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang pemandu ekskavator di tapak pembinaan tersebut.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berlaku tanah runtuh dari Sistem MERS 999 pada 9.37 pagi.

"PGO Kedah telah mengarahkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena selain jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati terdapat runtuhan batu di lokasi akibat daripada kerja-kerja menimbun tapak pembinaan.

"Kerja-kerja mencari mangsa yang dipercayai berusia 40-an sedang dijalankan dengan bantuan sebuah ekskavator," katanya.

Menurutnya, seramai 14 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.