Semua pihak dalam UMNO perlu bersatu, fokus menang PRU15

Memenangi PRU15 akan datang adalah fokus paling utama UMNO. - Gambar kecil: Mohamed Khaled
Memenangi PRU15 akan datang adalah fokus paling utama UMNO. - Gambar kecil: Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua pihak dalam UMNO tanpa mengira memihak kepada Perdana Menteri atau Presiden UMNO perlu bersatu dan melupakan segala perbalahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana memenangi PRU15 akan datang adalah fokus paling utama UMNO.

Menurutnya, kerajaan yang sedia ada bersifat interim, ini realiti dan semua memahaminya. Akhirnya, UMNO mesti mencari jalan keluar dari kesementaraan ini demi kestabilan negara melalui pilihanraya yang demokratik.

"Untuk menang pilihan raya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan UMNO. Bukan haluan Presiden UMNO, bukan haluan Perdana Menteri.

"Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam UMNO mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, 'politicking' yang hanya melemahkan UMNO secara dalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamed Khaled berkata, beliau bersetuju untuk berbeza pendapat kerana tidak semua akan bersetuju dalam semua perkara tetapi tidak mahu hanya kerana perbezaan pandangan, UMNO berpecah dan itu merupakan pertimbangan yang salah.

"Dukungan UMNO kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada Presiden UMNO dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguatkan satu sama lain," katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri harus menjadi suara UMNO dan Presiden UMNO pula mesti menjadi jurubicara bangsa, hanya dengan sedemikian kerajaan dan parti akan terus sehaluan.

"Puak berkepentingan di luar sana sangat gembira apabila UMNO berpecah belah kerana UMNO yang lemah akan mudah dikalahkan dan apa yang lebih menggembirakan dari berjaya melihat parti terbesar goyah dan bercempera," soalnya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, menafikan UMNO mempunyai pergeseran dalaman adalah bohong kerana itu merupakan lumrah dalam berpolitik namun tidak seharusnya dibiarkan menjadi retak dan belah yang merugikan UMNO.

"Ingat, biduk berlalu kiambang bertaut. Lalu kembalilah semua ke haluan UMNO, yang selama ini menjadi alasan kita semua berpolitik.

"UMNO adalah wadah kita berkhidmat dan menyemai kebaikan selama ini. Fungsi itu tidak pernah berhenti. Tiada siapa yang lebih besar dari wadah dan fungsi ini," katanya.