Peringati perjuangan kebebasan Keluarga Malaysia urus negara

Ismail Sabri mengibarkan Jalur Gemilang pada Program 'Berjalan Teguh Bersama' sempena majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri mengibarkan Jalur Gemilang pada Program 'Berjalan Teguh Bersama' sempena majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati perjuangan kebebasan yang dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah kuasa asing.

Melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya di sini pada Sabtu, Ismail Sabri berkata, walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran datang dari luar yang boleh menggugat keharmonian terjalin selama ini.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 merupakan cabaran paling besar kepada Malaysia dan seluruh dunia sejak dua tahun lepas, namun negara dapat mengharunginya dengan baik disebabkan tindakan dan langkah-langkah tegas yang diambil kerajaan dalam menanganinya.

"Kini, kita dalam fasa peralihan ke endemik dan tanda-tanda pemulihan ekonomi kelihatan menjadi nyata dan Keluarga Malaysia mula kembali menikmati kesejahteraan hidup seperti sediakala," katanya.

Ismail Sabri berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Semangat 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' ini wajar disemarakkan dan dihayati oleh masyarakat dalam usaha kita menyejahterakan kehidupan rakyat ketika keadaan ekonomi negara dan dunia berdepan cabaran.

"Saya yakin, apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu gugat keteguhan Keluarga Malaysia. Bak kata perumpamaan 'segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi'," katanya.

Ismail Sabri juga mahu Keluarga Malaysia menyematkan di hati dengan semangat patriotisme untuk mempertingkatkan lagi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan demi negara tercinta.

Perdana Menteri dalam pada itu menyeru Keluarga Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

Selain mengibar Jalur Gemilang, katanya cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung segala inisiatif kerajaan dan amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih.

Perdana Menteri berkata, gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak-perandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Gunakanlah media sosial secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan-ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama anggota jemaah menteri termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa menyertai lebih 15,000 Keluarga Malaysia berjalan secara santai sejauh 2.7 kilometer dalam program Berjalan Teguh Sama.

Mengenai program yang diadakan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Ismail Sabri berkata, kehadiran yang ramai menunjukkan kebersamaan Keluarga Malaysia di negara ini.

"Sejujurnya, saya amat gembira pagi ini... tahniah kepada Keluarga Malaysia yang hadir bersama-sama pada pagi ini... kehadiran begitu ramai berjalan bersama-sama menunjukkan kebersamaan kita sebagai Keluarga Malaysia.

"Inilah sebenarnya rencah syarat dan ciri yang menyebabkan kita di Malaysia mampu hidup bersama dan kekal utuh pertahankan negara," katanya.

Program Berjalan Teguh Bersama berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman di sini itu, membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.