Penarikan sekatan pekerja Indonesia ke Malaysia beri impak positif

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penarikan balik pembekuan sementara pekerja Indonesia ke Malaysia akan memberi impak positif terutamanya bagi sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, kata CGS-CIMB.

Dalam nota kajian, ia berkata, resolusi itu akan membolehkan pengambilan semula pekerja Indonesia dalam beberapa bulan akan datang untuk mengurangkan isu kekurangan pekerja asing semasa.

"Ini akan membantu meningkatkan produktiviti dan keuntungan perniagaan pada masa depan serta menambah baik sentimen pasaran.

"Pengambilan pekerja ladang dari Indonesia adalah penting untuk meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS), meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan mengurangkan kos pengeluaran di ladang-ladang Malaysia,” katanya.

Kerajaan Indonesia pada 13 Julai mengumumkan keputusan untuk membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Pada Khamis, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, Indonesia telah menarik balik sekatan terhadap kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

Beliau berkata, kedua-dua kerajaan juga bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur untuk pengambilan pekerja domestik Indonesia. - Bernama