Ringgit akhiri dagangan minggu ini lebih tinggi

Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan mencatatkan lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat. - Gambar hiasan
Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan mencatatkan lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan mencatatkan lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat selepas mata wang Amerika Syarikat (AS) itu terus lemah berikutan data ekonomi AS yang tidak dijangka, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4495/4520 berbanding dolar AS daripada 4.4515/4550 pada Khamis.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata jualan dolar AS berterusan semalaman selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS lemah -- yang merosot 0.90 peratus pada suku kedua 2022 -- menunjukkan ekonominya memasuki kemelesetan teknikal.

"Mata wang Asia akhirnya mula mengukuh berbanding dolar AS semalaman selepas data AS yang lemah mendorong hasil AS rendah berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan meningkat,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2243/2266 daripada 3.2192/2222 pada Khamis dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.3347/3368 daripada 3.2865/2893.

Ia turut susut berbanding euro kepada 4.5385/5410 daripada 4.5196/5232 semalam dan merosot berbanding pound kepada 5.4048/4078 daripada 5.4001/4044 sebelum ini. - Bernama