Kerajaan setuju tubuh #MyMudah permudah urusan perniagaan

Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju dengan cadangan penubuhan unit ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) di semua kementerian dan agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan daya saing ekonomi negara serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Ini kerana keutamaan kerajaan adalah mewujudkan proses kawal selia dan persekitaran pematuhan lebih mudah serta mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun ini.

Menurutnya, ia disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi termasuk perdagangan yang meningkat sebanyak 43.4 peratus kepada paras tertinggi baharu berjumlah RM270.4 bilion.

“Pasaran buruh juga lebih baik dan kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus pada Mei lalu berbanding lima peratus pada bulan yang sama tahun 2020.

“Selain itu, jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 19.9 peratus pada Mei lepas manakala jualan sektor pembuatan meningkat 15.7 peratus bagi tempoh sama,” ujarnya.