Lelaki mengaku tidak bersalah tendang muka isteri

Danial Dallas (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
Danial Dallas (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal bulan ini.

Danial Dallas Abdullah, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor.

Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua orang cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes.