Agong solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Khalid Al-Walid untuk menunaikan solat Jumaat serta mendengar khutbah pada Jumaat. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Khalid Al-Walid untuk menunaikan solat Jumaat serta mendengar khutbah pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid di sini pada Jumaat.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 1.15 tengah hari di masjid itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Khutbah khas Jumaat bertajuk "Segagah Khalid Al-Walid” bersempena Hari Pahlawan Negara dan Sambutan Maal Hijrah 1444 disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai.

Mohd Rashidi dalam khutbahnya menyebut, Khalid al-Walid al-Mughirah sangat dikenali dengan taktik dan strategi ketenteraannya sehingga beliau antara panglima perang yang tidak pernah kalah sepanjang kariernya.

Menurut Mohd Rashidi, kepahlawanan merupakan sifat terpuji bertepatan dengan matlamat menjaga agama, maruah, bangsa dan negara.

Justeru, beliau berkata, perjuangan para pahlawan negara yang terdiri daripada tentera, polis dan lain-lain, yang juga didukung para ulama dalam membebaskan agama, bangsa dan tanah air daripada dijajah mesti dihargai dan disyukuri.

"Keberanian, kesetiaan, dan keikhlasan Khalid al-Walid patut menjadi contoh dalam menerapkan semangat kepahlawanan dalam diri.

"Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang tercatat dalam peristiwa hijrah merupakan teladan dan pengajaran yang baik untuk kita membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang memangkin kemakmuran negara,” katanya.

Selain itu, Mohd Rashidi berkata, hijrah dalam konteks hari ini ialah berusaha mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain, serta bertanggungjawab memastikan hubungan sesama masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

"Nilai-nilai inilah menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara, bertepatan juga dengan tema Sambutan Maal Hijrah pada tahun 1444H iaitu "Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, katanya.

Selesai solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang, disusuli Perdana Menteri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!