Sindiket curi, jual komponen kenderaan tumpas

Hoong Fong (kanan) menunjukkan rangka motosikal yang dirampas menerusi beberapa tangkapan yang dijalankan sejak 1 Julai lalu, di IPD Klang Selatan, Klang pada Jumaat.
Hoong Fong (kanan) menunjukkan rangka motosikal yang dirampas menerusi beberapa tangkapan yang dijalankan sejak 1 Julai lalu, di IPD Klang Selatan, Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Lerai dan jual alat ganti kenderaan, itu antara kegiatan yang dijalankan sindiket mencuri kenderaan di sekitar kawasan Klang Selatan serta daerah berhampiran sejak dua tahun yang lalu.

Kegiatan yang dilakukan tiga sindiket berbeza itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan apabila seramai 13 individu termasuk seorang warga asing diberkas menerusi Op Lejang Khas yang dijalankan sejak 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua individu yang ditangkap berumur antara 22 hingga 43 tahun.

"Semua suspek yang ditangkap mempunyai dua hingga tiga rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan antaranya mendatangkan kecederaan, curi, curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.

"Selain itu, rampasan turut dijalankan melibatkan enam buah motosikal, tiga kereta, sebuah pacuan empat roda, satu rangka motosikal, empat enjin motosikal dan peralatan digunakan untuk mengubah suai nombor casis dan enjin kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan yang dirampas itu sebahagiannya akan dileraikan komponen dan sebahagian lagi akan dijual terus kepada pembeli.

Antara kenderaan yang dirampas menerusi beberapa tangkapan yang dijalankan sejak 1 Julai lalu, di IPD Klang Selatan, Klang pada Jumaat.
Antara kenderaan yang dirampas menerusi beberapa tangkapan yang dijalankan sejak 1 Julai lalu, di IPD Klang Selatan, Klang pada Jumaat.

"Bahagian kenderaan akan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti dan siasatan mendapati ia melibatkan kenderaan yang sudah berusia.

"Untuk kenderaan yang masih baharu, ia akan dijual terus kepada pembeli," katanya.

Menurutnya, dengan tertumpasnya ketiga-tiga sindiket itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes.

"Antaranya melibatkan tujuh kes curi motosikal, empat kes curi kereta dan pacuan empat roda dan kes pecah kedai melibatkan daerah Klang Selatan sebanyak sembilan kes.

"Kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, statistik perbandingan jenayah bagi Klang Selatan mencatatkan penurunan sebanyak 176 kes iaitu 19.78 peratus sehingga 26 Julai lalu.

"Bagaimanapun, statistik menunjukkan jenayah harta benda masih menjadi penyumbang utama bagi indeks jenayah iaitu sebanyak 553 kes," katanya.