Seludup 1kg ganja dari negara jiran guna jalan tikus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KANGAR - Polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah inap desa di Kampung Kolam, Padang Besar pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kesemuanya yang berusia 25 hingga 28 tahun ditahan kira-kira 1 tengah hari.

"Hasil serbuan, polis menjumpai dadah jenis ganja seberat satu kilogram dianggar bernilai RM2,500 yang boleh menampung penggunaan 500 penagih,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan tikus oleh dua lelaki itu sehari sebelum mereka ditahan.

"Dadah berkenaan disimpan di sebuah bilik di inap desa berkenaan yang didaftarkan atas nama wanita itu,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama