Formula kerusi tradisi tidak lagi relevan di Johor: Hasni

Mohamad Fauzi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hasni semasa Majlis BBQ Santai KMJ di Johor Bahru pada malam Khamis.
Mohamad Fauzi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hasni semasa Majlis BBQ Santai KMJ di Johor Bahru pada malam Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Formula mengekalkan kerusi trasidi atau 'kerusi selamat' tidak boleh lagi diguna pakai sekiranya Barisan Nasional (BN) Johor mahu menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini tidak akan dapat dilakar semula dalam PRU15 jika masih menggunakan formula itu.

Bekas Menteri Besar Johor itu, ini kerana terdapat kawasan yang tidak lagi menjadi 'simpanan tetap' gabungan itu seperti di Johor timur antaranya di Parlimen Pengerang, Kota Tinggi, Tenggara dan Mersing.

"Saya tidak menolak terdapat kemungkinan-kemungkinan di sesetengah kerusi cabaran bertanding adalah lebih berbanding tempat lain. Menjelang PRU15 ini kita tidak boleh mengambil mudah setiap kerusi yang dipertandingkan.

"Di Johor kita tidak menggunakan pendekatan kerusi tradisi. Jadi kita kena kerja kuat di semua kerusi. Kita tidak mahu pengalaman di Mersing sebagai contoh apabila hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau (dalam PRN Johor)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis BBQ Santai Kelab Media Johor (KMJ) bersama Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Hasni Mohammad di sebuah hotel di sini pada malam Khamis.

Turut hadir Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak yang juga Presiden Persatuan Kelab Media Malaysia.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, setiap bahagian BN di negeri ini perlu menggunakan kaedah yang berbeza terutama melibatkan pembahagian kerusi dalam menarik sokongan rakyat.

Selain itu katanya, jentera BN perlu digerakkan dalam masa terdekat dan pada masa sama pucuk pimpinan BN sudah memaklumkan gabungan tersebut sudah boleh berbincang mengenai pengagihan 26 kerusi Parlimen di Johor.

"Pengagihan kerusi mengikut parti-parti dalam BN antara UMNO, MCA dan MIC. Itu kita kena putuskan dahulu dan ketika ini ia masih di peringkat perbincangan," ujarnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO Johor sedang menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan parti itu untuk meminda Perlembagaan parti.

Katanya, UMNO Johor berharap keputusan itu akan membolehkan parti tersebut menangguhkan pemilihan sebelum PRU15 dan jika sebaliknya, UMNO Johor sedia untuk melakukan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.

"Kalau tidak ada pemilihan parti kita adakan mesyuarat biasa. UMNO Johor menyokong penuh PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu.

Menurut Hasni, pihaknya percaya pucuk pimpinan parti akan memikirkan keputusan tersebut bagi mengelakkan perpecahan terutama di peringkat akar umbi.