Misi tuai enam emas

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu memberi kata-kata semangat kepada atlet yang menyertai Sukan Komanwel Birmingham di Perkampungan Sukan di Universiti of Warwick. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu memberi kata-kata semangat kepada atlet yang menyertai Sukan Komanwel Birmingham di Perkampungan Sukan di Universiti of Warwick. - Foto Bernama
A
A
A

TEMASYA Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang membuka tirai di Stadium Alexander, Perry Barr pada awal pagi Jumaat menandakan bermulanya misi kontinjen Malaysia dalam mencapai sasaran enam pingat emas.

Atas kertas, sasaran bagi mencapai enam pingat emas itu dilihat tidak mustahil untuk direalisasi bersandarkan kepada barisan atlet negara yang mengambil bahagian pada temasya Komanwel kali ini.

Kontinjen Malaysia akan mempertaruhkan 104 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para dalam memastikan sasaran enam emas kali ini tercapai - menyamai rekod dilakar pada edisi 2014 di Glasgow.

Tanpa kelibat jaguh badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan pemain skuasy wanita, S Sivasangari yang sebelum ini diletakkan sebagai prospek emas, percaturan kontinjen Malaysia sedikit berubah.

Zii Jia menarik diri atas alasan jadual padat selain mahu memberi tumpuan pada Kejohanan Dunia di Tokyo manakala malang menimpa Sivasangari setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Situasi itu menyebabkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan menurunkan sasaran awal tujuh emas kepada enam merangkumi acara angkat berat, badminton, boling padang, gimrama, powerlifting dan terjun.

Nama-nama seperti Datuk Pandelela Rinong selain Nur Dhabitah Sabri, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji, Muhamad Aznil Bidin, Koi Sie Yan dan Bonnie Bunyau Gustin pasti menjadi tumpuan.

Sudah tentu Pandelela dan Nur Dhabitah yang meraih gangsa pada Kejohanan Dunia di Budapest bulan lalu, dianggap taruhan terbaik dalam menjelmakan emas acara 10 meter (m) plaform seirama.

Malah, Pandelela berpeluang menambah koleksi pingat jika mampu melakukan terjunan terbaik seperti ditampilkan ketika meraih gangsa dalam acara 10m platform individu di Budapest.

Aznil pula mengintai emas kedua berturut-turut di gelanggang angkat berat selepas memenanginya pada edisi 2018 manakala Sie Yan mengetuai skuad gimnastik dalam meneruskan kejayaan Amy Kwan Dict Meng sebelum ini.

‘Gandingan emas’, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana sekali lagi dianggap prospek terbaik skuad boling padang negara dalam usaha menaiki podium utama di Victoria Park Bowling Greens.

Bonnie pula dalam misi melakar sejarah menjadi atlet para pertama negara membawa pulang emas pada temasya Komanwel kali ini susulan kejayaannya meraih emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Biarpun fokus lebih diberikan kepada prospek emas, cabaran skuad berbasikal trek, renang, olahraga, tinju, gimnastik artistik, judo, skuasy, ping pong, ragbi tujuh sebelah, bola keranjang para 3x3 dan triathlon tidak boleh dipinggirkan.

Bukan sesuatu yang mustahil mereka mampu menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia terutamanya kilauan emas, sekali gus mengangkat nama kontinjen Malaysia di bumi Birmingham.