Kadar kematian Hepatitis B, C, meningkat: Khairy

Khairy
Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar notifikasi kematian Hepatitis B dan C di Malaysia menunjukkan peningkatan dengan masing-masing kepada 0.16 dan 0.27 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021, berbanding 0.13 dan 0.19 orang bagi jumlah sama pada 2015.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar notis kes baharu Hepatitis C turut menunjukkan peningkatan kepada 8.59 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021, berbanding 6.9 orang bagi jumlah sama pada 2015.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar notifikasi kes baharu Hepatitis B menurun kepada 11.6 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun lepas, berbanding 12.2 orang bagi jumlah sama pada 2015.

"Peningkatan kes baharu Hepatitis C adalah susulan meningkatnya kesedaran orang ramai untuk menjalani ujian saringan terutamanya dalam kalangan individu berisiko.

"Peningkatan juga berlaku berikutan pelaksanaan saringan bersasar di fasiliti kesihatan, institusi penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta kempen-kempen kesihatan yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2022 pada Khamis.

Sehubungan itu, Khairy menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang berisiko supaya tidak berlengah untuk menjalani ujian saringan dan pengesanan awal yang dapat mengelakkan komplikasi jangkitan seperti penyakit hati yang teruk dan kanser hati seterusnya kematian.

Untuk Hepatitis C pula, rawatan khusus kini boleh diberikan untuk menyembuhkan jangkitan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan bayi mereka diberikan imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan sekiranya terdapat anak yang tercicir imunisasi, mereka perlu mendapatkan nasihat di klinik kesihatan berhampiran untuk penjadualan semula imunisasi.

Hepatitis adalah penyakit keradangan hati yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus iaitu virus Hepatitis A, B, C, D atau E.

Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan tidak membawa kepada penyakit yang kronik manakala virus Hepatitis B, C dan D berjangkit melalui darah atau cecair badan yang boleh membawa kepada penyakit kronik serta merupakan punca utama kepada sirosis atau parut hati dan kanser hati yang memudaratkan.

Khairy berkata, kebolehcapaian ubat DAA (antivirus bertindak secara langsung) yang mempunyai keberkesanan yang tinggi dan pada harga berpatutan juga meningkatkan kadar saringan dan rawatan Hepatitis C.

Justeru, beliau berkata, Malaysia akan terus memantapkan program saringan dan rawatan Hepatitis C di seluruh negara dengan mempertingkat penggunaan kit diagnostik pantas yang lebih mudah, murah dan cepat serta boleh diperoleh di kemudahan-kemudahan kesihatan.

Beliau berkata, akses kepada rawatan Hepatitis C juga akan diperluaskan ke klinik kesihatan sedia ada termasuk klinik kesihatan yang mempunyai pakar perubatan keluarga.

Terdapat lebih 300 kemudahan kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan Hepatitis C sejak 2017.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) dan Yayasan Diagnostik Baharu Inovatif (FIND) sedang menjalankan kajian untuk meninjau keberkesanan rawatan DAA dalam tempoh yang lebih pendek iaitu lapan minggu berbanding 12 minggu.

"Kajian untuk meneroka kesesuaian saringan Hepatitis C kendiri yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia kini berada di peringkat akhir," katanya.

Bagi Hepatitis B pula, menurut Khairy, Program Imunisasi Kebangsaan yang dimulakan sejak 1989 akan terus diperkukuh melalui pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas bayi lahir kerana ia mempunyai keberkesanan sebanyak 95 peratus dalam mencegah jangkitan virus itu dalam tempoh kelahiran sebelum dos seterusnya diberikan menggunakan vaksin kombinasi enam serangkai pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan. - Bernama