Rahmat nafi terima wang RM2.6 juta UKSB bagi pihak Tun Mahathir

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Rahmat)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Rahmat)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang didakwa menerima RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), menafikan menerima wang berkenaan bagi pihak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rahmat menyifatkan dakwaan oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Song Sun di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Isnin lalu berunsur palsu, fitnah dan berniat jahat.

Beliau yang juga anak saudara kepada Dr Mahathir itu langsung tidak mengetahui kaitan beliau dengan UKSB pada 2018 dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya David tidak menarik balik tuduhan tersebut.

"Saya ingin tegaskan bahawa kenyataan David di mahkamah seperti yang dilapor berunsur palsu, fitnah dan berniat jahat. Kononnya saya mewakili Tun Dr Mahathir dan wang sebanyak RM2.6 juta adalah untuk Dr Mahathir. Duit sebanyak itu tidak diberi kepada saya pun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

David mendakwa UKSB telah memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada Dr Mahathir sewaktu memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Julai.

Rahmat berkata, beliau sememangnya pernah ditawarkan jawatan pengerusi serta penasihat kepada UKSB pada 13 Julai 2018, termasuk tawaran 50 peratus saham syarikat tersebut.

"Saya dijanji imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat. Inilah bayaran yang saya terima dalam bentuk wang tunai. Kemudian saya telah kembalikan wang tunai ini kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya.

"Bagaimanapun, pada 14 November 2018, saya telah letak jawatan sebagai pengerusi dan penasihat. Ini diperakui di dalam surat Datuk Fadzil Ahmad, Pengarah Urusan UKSB kepada saya," katanya.

Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan setelah dinasihat Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang pada ketika itu menjawat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Negara.

Ujarnya, akur kepada nasihat tersebut berdasarkan kepada maklumat bahawa UKSB ini merupakan syarikat bermasalah dan terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat.

"Saya juga telah batalkan niat untuk ambil alih apa jua kepentingan di dalam syarikat tersebut. Kesemua tindakan yang saya ambil tercatit di dalam surat-menyurat di antara saya dengan pihak-pihak berkaitan.

"Ini berbeza dengan kenyataan yang dibuat David yang bersandar kepada buku lejer yang merupakan rekod pengurusan UKSB dan tidak ada bukti surat ataupun dokumen," katanya.