Tiada pendakwaan bagi pembelian enam helikopter MD530G

Antara jentera Unit Light Scout Attack Helicopter Model MD530G yang tiba di Hangar 2, Invation Aero pada 28 Februari lalu. - Foto fail Bernama
Antara jentera Unit Light Scout Attack Helicopter Model MD530G yang tiba di Hangar 2, Invation Aero pada 28 Februari lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada pendakwaan atas kesalahan rasuah terhadap mana-mana individu bagi pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD530G.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Bagi kes pembelian helikopter MD530G, siasatan telah selesai dijalankan.

“Berdasarkan kepada kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara telah memutuskan tiada pendakwaan atas kesalahan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana individu bagi isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanyakan siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan penyelewengan berkenaan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan helikopter MD530G.

Pada Jun 2019, Kementerian Pertahanan membuat satu laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter itu pada 2015, yang belum diterimanya ketika itu.

Bernama melaporkan helikopter tempur ringan McDonnell Douglas MD530G sepatutnya dihantar dalam dua fasa, dengan dua daripada pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018.

Helikopter itu akhirnya dihantar pada Februari tahun ini.

Menyentuh mengenai isu LCS, Wan Junaidi memaklumkan ia masih dalam siasatan SPRM.

“SPRM telah memanggil saksi-saksi yang terlibat daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pertahanan,” katanya.