Pekebun ditahan miliki dadah bernilai RM50,000

Wan Mohd Zahari (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh pihaknya pada sidang media di IPD Raub di sini, hari ini.
Wan Mohd Zahari (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas oleh pihaknya pada sidang media di IPD Raub di sini, hari ini.
A
A
A

RAUB- Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Raub berjaya menahan seorang pekebun selepas disyaki terlibat dalam pengedaran dadah melibatkan nilai rampasan berjumlah RM50,000 di sini, 30 Mac lalu

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Arang Jenud, Ulu Atok Raub Pahang pada jam 3.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Raub.

Menurutnya, ketika serbuan, pihak polis tidak menjumpai apa-apa barang yang berkaitan ketika melakukan pemeriksaan ke atas tubuhnya.

"Namun, kita berjaya menjumpai bekas plastik warna biru berpenutup cerah yang dipercayai mengandungi dua bungkusan dadah heroin seberat 919.17 gram di bahagian dapur rumah suspek.

"Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran darah di daerah Raub dan daerah berhampiran," katanya dalam sidang media di IPD Raub di sini, hari ini.

Wan Zahari berkata dadah tersebut dipercayai baharu sahaja diambil olehnya dan suspek tidak sempat untuk membahagikan dadah tersebut untuk dijual kepada pelanggannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah menjalankan ujian air kencing ke atas suspek dan didapati positif dadah jenis morfin.

"Suspek mempunyai rekod lampau jenayah bersabit kes dadah dan mempunyai rekod lampau yang dikehendaki oleh Polis Kuala Lipis pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di tahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut pihak polis,” katanya.