Perlu permit khas beli petrol, diesel lebih 20 liter

Permit khas diperlukan bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja.
Permit khas diperlukan bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diperlukan oleh syarikat atau individu yang layak untuk membeli petrol dan diesel bagi kegunaan sendiri.

Walau bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permit khas itu adalah bagi pembelian dengan kuantiti melebihi 20 liter ke atas sahaja.

"Mana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, keperluan permit khas adalah bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol serta diesel diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Pihak yang ingin memohon permit khas boleh membuat permohonan melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata, tiada bayaran dikenakan bagi permohonan permit khas tersebut dan ianya juga terbuka kepada semua yang layak.

"Pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui permit khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang telah diluluskan," katanya.

Alexander berkata, antara yang telah mendapat permit khas daripada pihak kementerian adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa.