On The Way Sinar Harian tawar perspektif baharu wawancara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Memasuki usia 16 tahun dalam dunia penerbitan, Sinar Harian terus berusaha mencari kelainan dalam kaedah penyampaian maklumat kepada pembacanya termasuk dalam penerbitan wawancara.

Justeru, Sinar Harian mengambil inisiatif menerbitkan On The Way, satu program sembang santai melibatkan tokoh masyarakat termasuk artis, selebriti dan ahli politik.

Program terbaharu Sinar Harian ini mengambil latar perjalanan dalam kereta sepanjang wawancara – konsep yang pernah diterokai James Corden dalam Carpool Karaoke di Amerika Syarikat dan Boy William dalam NebengBoy di Indonesia.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman berkata, konsep atau pendekatan itu akan memberi kesegaran baharu kepada penonton dan pelayar Sinar Harian dengan naratif yang tidak membosankan.

Selain meminta pandangan tentang isu semasa, On The Way akan turut bertanyakan soalan berkisar politik kepada tetamu undangan.

Menerusi soalan-soalan tersebut, program yang akan bersiaran selama 12 episod itu juga berhasrat menjadi ‘pemanas badan’ kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Menyedari data dan maklumat amat penting kepada pembaca untuk membuat keputusan termasuk semasa mengundi dalam pilihan raya, Sinar Harian menyediakan laman web khas PRU Sinar di pru.sinarharian.com.my.

Laman web itu menghimpunkan rekod keputusan pilihan raya di Malaysia sejak 2004 termasuk biodata semua calon bertanding.

Episod pertama On The Way akan disiarkan pada Jumaat ini jam 3 petang di saluran YouTube Sinar Harian, manakala episod kedua dan seterusnya akan disiarkan setiap Rabu, jam 8.30 malam mulai 10 Ogos nanti.

Antara tetamu undangan yang akan ‘menghiasi’ On The Way ialah model dan ratu cantik, Joanna Joseph; pelakon popular, Maya Karin; pendakwah selebriti, PU Azman; bekas penyanyi rap, Altimet; johan tilawah al-Quran antarabangsa, Farhatul Fairuzah dan ADUN Ketari, Young Syefura Othman.