[VIDEO] Awas mereka yang masih guna gelaran palsu: Wan Junaidi

WAN JUNAIDI
WAN JUNAIDI
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi amaran kepada semua pihak yang masih menyalahgunakan gelaran palsu dan menjalankan aktiviti-aktiviti menipu.

Wan Junaidi berkata, kerajaan dan pihak penguat kuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.

Menurut beliau, pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 (Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017).

Penguatkuasaan akta ini kata beliau, adalah bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu.

"Perlu diingatkan bahawa antara kesalahan di bawah Akta 787, pesalah boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 dan juga hukuman penjara maksimum 20 tahun.

"Saya berharap pihak penguat kuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih tegas dan menyeluruh bagi memastikan Akta 787 ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara.

"Saya juga berharap agar pihak media dan orang ramai juga memainkan peranan untuk mendedahkan kes-kes penyalahgunaan seperti yang saya sebutkan tadi," ujar beliau pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) pada Rabu.

Turut hadir, Presiden MDDM, Datuk Awalan Abdul Aziz.

Ucapan Wan Junaidi itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood.

Menurut Wan Junaidi lagi, tindakan tegas ini juga penting bagi memelihara kedudukan dan kemurnian anugerah, gelaran dan darjah-darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

"Inilah sebenarnya, intipati dan objektif utama Akta 787 ini dan pada pandangan saya, penubuhan MDDM adalah sangat bertepatan di kala pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 ini," ujarnya.

Beliau berharap, MDDM akan menjadi pertubuhan dan platform utama bagi mendaftar semua Datuk yang benar-benar diiktiraf di dalam negara ini.

"Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa, MDDM akan melaksanakan proses saringan yang ketat bagi memastikan semua permohonan keahlian adalah betul-betul dari kalangan mereka yang menerima darjah kebesaran dan gelaran yang diiktiraf di negara kita," kata beliau.

Ini penting, katanya, kerana masyarakat umum dan pihak media terus menerus melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan dan penggunaan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf dan palsu.

Bahkan tegas beliau, ada juga kes yang melibatkan penggunaan gelaran Tan Sri palsu.

"Sesetengah mereka percaya dengan menggunakan gelaran tersebut akan dapat meyakinkan dan mengaburi mata orang ramai bahawa mereka ini mempunyai status dan kredibiliti tertentu di kalangan masyarakat.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah, mereka ini menyalahgunakan gelaran-gelaran ini untuk tujuan penipuan dan juga jenayah.

"Begitu juga, masih ada pihak-pihak yang secara terang-terangan mengadakan majlis-majlis tertentu di mana mereka datang menghadiri majlis tersebut dengan mengenakan ‘Number 1 Dress’ atau ‘Mess Kit’ lengkap dengan pingat, selempang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu," ujarnya lagi.