Dua maut, nahas awal pagi di LPT1

Keadaan kereta dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 126, LPT1 di Temerloh pada awal pagi Khamis. - Foto ihsan JBPM
Keadaan kereta dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 126, LPT1 di Temerloh pada awal pagi Khamis. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Dua termasuk seorang wanita maut selepas kereta dinaiki merempuh belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Temerloh pada awal pagi Khamis.

Dalam nahas yang dilaporkan kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Tan Wee Li, 39, dan Nur Susilawati Che Deraman, 35, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan melanggar bahagian belakang lori yang berhenti kerana suhu enjin terlalu panas.

"Akibat kejadian, pemandu dan penumpang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dalam kemalangan di KM126 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Khamis. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dalam kemalangan di KM126 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Khamis. - Foto ihsan JBPM

Mohd Azhar berkata, kemalangan meragut dua nyawa awal pagi itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 2.47 pagi.

Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh ke lokasi untuk bantuan kecemasan.

"Ketika tiba di lokasi mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah lori dan kereta di mana dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia.

"Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.